KUALA KRAI – Seorang guru Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang memandu van sehingga berlaku kemalangan dan kematian tujuh pelajarnya yang menaiki kenderaan itu dalam kejadian di Kampung Telekong di sini pada Jun lalu memohon maaf kepada keluarga mangsa terlibat.
Muhammad Hamzi Mohd. Husham, 24, berkata, niatnya memandu van itu pada hari kejadian hanya mahu membantu rakan sekerjanya, Muhammad Izzat Mohamad Nor, 24, yang sepatutnya memandu kenderaan tersebut namun dia mengalami pening kepala.
Muhammad Hamzi yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa daripada Universiti Sains Islam Malaysia memberitahu, sejak peristiwa itu, hatinya sentiasa rasa bersalah.
“Saya koma selama sehari dan sehingga hari ini, saya tidak dapat mengingati bagaimana kemalangan itu berlaku. Saya memohon maaf dan berharap semua keluarga pelajar terlibat memaafkan saya,” katanya ketika ditemui pada sambutan Aidilfitri di pusat tahfiz tersebut di sini semalam.
Sumber: Kosmo