TUARAN - Anggota UMNO diingatkan supaya tidak mengambil mudah dengan kedudukan parti yang selesa dan mantap pada masa ini kerana mereka perlu berwaspada dengan cubaan menggagalkan Barisan Nasional (BN) untuk terus mentadbir negara.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Ketua Menteri Sabah, mengingatkan anggota parti supaya terus bekerja mempertahankan BN sebagai kerajaan.
"Apabila kita sudah berada dalam keadaan yang selesa, baik dan mantap, kita jangan mudah ambil ringan dengan kedudukan kita ini.
"Kita harus pertahankan kekuatan kita dalam parti dengan terus bekerja untuk rakyat dan mengukuhkan jentera parti," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tuaran di sini hari ini.
Musa berkata kemampuan UMNO untuk bertahan lama dan sentiasa relevan disebabkan kesatuan anggotanya untuk sentiasa berkhidmat untuk rakyat dan mengamalkan perbincangan bersama untuk kebaikan negara.
Beliau berkata pembangkang tidak mempunyai kemampuan untuk mentadbir negara kerana sentiasa mempunyai masalah dalaman.
Musa juga berkata UMNO tidak takbur dengan usahanya mendekati rakyat supaya menyokong parti itu berikutan prestasinya yang baik dalam berkhidmat kepada rakyat selama ini.
"Struktur parti adalah yang terbaik kerana kita tidak kira musim untuk sentiasa turun padang berkhidmat kepada rakyat.
"Disebabkan itulah pemimpin luar negara mahu datang ke negara kita untuk mempelajari bagaimana kita mentadbir negara," katanya.
Mengenai kelemahan pembangkang, terutama Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Musa berkata kerajaan tidak melontarkan fitnah apabila mahu menyedarkan rakyat mengenai kelemahan bekas naib presiden UMNO itu.
"Sudah diberi jawatan penting dalam kabinet Persekutuan, dia mahu lebih kuasa lagi.
"Kerana gila kuasa, dia (Mohd Shafie) jadi tamak haloba," katanya.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Tuaran Datuk Hajiji Mohd Noor, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, melabelkan Mohd Shafie sebagai "penderhaka" terhadap UMNO kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya ketika menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dahulu.
Dialah (Mohd Shafie) pembelot, pembohong. Sekarang, dia ingat seolah-olah dialah boleh menjadi juara rakyat," katanya.
Hajiji berpesan kepada rakyat untuk menolak pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, beliau juga berkata UMNO Tuaran akan bekerja keras lagi untuk menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri Tamparuli, yang jatuh kepada Datuk Wilfred Bumburing yang merampas kerusi itu daripada BN atas tiket PKR pada PRU ke-13.
- Bernama