Pemimpin PAS Cabar Mahfuz Berdebat Agar Tidak Celupar Lagi



ALOR SETAR - Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencabar  Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk berdebat dengannya bagi membuktikan halatuju PAS tersasar atau sebaliknya.

Kata Zuhdi, perdebatan itu akan memberi ruang kepada bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu untuk berhujah selepas beliau begitu kerap  mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan PAS sekarang.

Menurut Zuhdi lagi, Mahfuz sering kali mengeluarkan kenyataan yang berselindung di bawah nada beliau 'masih sayangkan PAS' sedangkan tindakannya jelas bertujuan  menyerang PAS.

Perbuatan Mahfuz itu tidak lagi akan membawa mesej kepada partinya, kata Zuhdi dalam satu kenyataan semalam.  

Menurut Zuhdi lagi, PPP juga mendapat maklumat bahawa Mahfuz tidak lagi menghadiri program-program penerangan dan penjelasan tentang halatuju dan pendirian PAS, sebaliknya terus menerus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

"Isu-isu yang dibangkitkan oleh Mahfuz sebenarnya telahpun dijawab di dalam program-program yang dianjurkan oleh PAS, kata Zuhdi.

Sikap yang ditunjukkan oleh Mahfuz itu seperti sengaja dilakukan untuk menunjukkan hanya pandangan beliau sahaja seolah-olah yang betul berhubung dengan senario terkini politik.

Disebabkan isu-isu berkaitan halatuju dan pendirian parti ini banyak berkaitan dengan hal ehwal dalaman parti, Zuhdi mencadangkan debat  hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli PAS sahaja.

"PPP  bersedia menjadi penganjur debat itu dan akan menjawab segala dakwaan beliau supaya beliau tidak lagi celupar jika kesemuanya sudah terjawab," kata Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu Zuhdi turut mengalu-alukan agensi parti lain khususnya yang berada di bawah naungan Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah  menganjurkan debat yang sama sekiranya Mahfuzmerasa lebih selesa dengannya.

Mahfuz dilihat sering berada sepentas dengan pemimpin  PPBM, PAN, PKR dan DAP selepas beliau tewas dalam pemilihan pada Muktamar Agung  PAS kira-kira  dua tahun lalu.- Kedahnews.com