“Terima kasih dan saya sayang Malaysia. Sokongan peminat yang tidak henti-henti membuatkan saya berasa selesa dan gembira untuk kembali ke Malaysia buat kali ketiga,” luah aktres tersohor Bollywood, Kareena Kapoor Khan ketika menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu.
Isteri aktor Saif Ali Khan itu juga nyata tidak jemu mengukirkan senyuman saat muncul sebagai tetamu jemputan istimewa pada majlis perasmian premis jus minuman popular, Juiceco di Jalan Telawi 5, Bangsar.
Teruja dengan sambutan diterima, pelakon filem Kabhi Khushi Kabhie Gham itu tanpa lelah mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sanggup berpusu-pusu dan menunggu sekitar tiga jam sejak pukul 4 petang semata-mata ingin melihat wajahnya secara dekat.
“Setiap kali datang ke sini (Malaysia), saya berasa seperti berada di rumah sendiri. Malaysia bagai kediaman kedua buat saya,” tutur Kareena yang muncul pada acara tersebut pukul 7.30 malam.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga berkongsi cerita mengenai kerjaya seni dan kehidupan rumah tangganya, sekali gus pengalaman menguruskan putera sulung bernama Taimur Ali Khan Pataudi.
Bayi berusia enam bulan itu secara tidak langsung telah mengubah kehidupan Kareena ke fasa yang lebih matang dan fokus kepada keluarga.
“Setelah bergelar ibu, saya lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga terutama anak. Kehadiran cahaya mata secara tidak langsung menjadikan saya lebih matang.
“Jika dahulu apa yang difikirkan lebih kepada kehendak sendiri, kini keperluan Taimur telah menjadi keutamaan,” jelas pelakon filem 3 Idiots itu ceria.
Mengulas lanjut, Kareena, 36, yang mementingkan soal penjagaan makanan lebih senang memilih produk berasaskan organik buat Taimur.
Hal itu sekali gus sesuai dengan cara hidupnya yang merupakan pengamal makanan berasaskan sayuran.
Kekecohan
Ketika mengulas tujuan kehadirannya ke Malaysia, Kareena tidak menafikan dia merupakan penggemar jus buah-buahan. Sinonim dengan fokus Juiceco, syarikat tersebut menawarkan lebih 200 pilihan perisa jus buah-buahan kepada pengguna.
“Saya memang penggemar jus dan mengambil minuman tersebut setiap hari. Saya juga berasa teruja dan tidak menyangka bahawa jenama ini mampu menawarkan lebih 200 perisa buah.
“Secara peribadi, ia merupakan suatu perkara luar biasa dan sukar untuk ditemui pada mana-mana jenama lain,” terang Kareena bersungguh-sungguh.
Ketika asyik bercerita, keadaan bertukar menjadi gamat apabila lebih 1,000 orang peminat mula berasak-asak untuk mendekati aktres berkenaan.
Tidak sekadar bersesak-sesak, sebilangan peminat mula berusaha untuk merempuh pintu masuk premis sehingga ada antara mereka yang sanggup menyogok pegawai keselamatan semata-mata ingin melihat Kareena secara dekat.
Selain daripada itu, terdapat golongan kanak-kanak dan wanita hamil turut sama menjadi mangsa dalam ‘babak’ tolak-menolak sehingga memaksa pegawai keselamatan menggunakan kekerasan bagi mengawal keadaan.
Beberapa telefon bimbit milik peminat juga telah dirampas pengawal keselamatan sewaktu sesi ramah mesra media berlangsung berikutan kedegilan mereka untuk merakam gambar bersama Kareena.
Pada segmen tersebut, peminat diminta oleh penganjur agar tidak menggunakan telefon bimbit mereka, sebaliknya menggunakan khidmat jurukamera yang disediakan.
Bagaimanapun, insiden berubah tegang apabila masih terdapat beberapa peminat fanatik melanggar arahan sehingga menyebabkan pengawal keselamatan terpaksa mengambil tindakan.
Sumber: Kosmo