PENDAKI dilaporkan melecur dalam kejadian letupan gas mudah alih ketika berkhemah di puncak Gunung Lasir Chemerong, Hulu Dungun, petang semalam.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang, ketika lelaki yang berusia 40 tahun itu sedang berehat di dalam khemah.
Ketika berehat, secara tiba-tiba balang gas mudah alih itu dikatakan meletup sebelum api menyambarkan badan serta khemah mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jaswari Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, pihaknya yang menerima laporan bersama lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 7 malam.
"Mangsa dikatakan bersama 34 rakan yang lain menyertai aktiviti perkhemahan di kawasan puncak gunung terbabit.
"Anggota kami terpaksa melakukan kerja pendakian dan terpaksa mengambil masa untuk sampai ke puncak,"katanya.
Jaswari berkata, sehingga jam 11 malam ini usaha membawa turun mangsa dari puncak gunung terbabit kini sedang giat dijalankan.
Sumber: Harian Metro