Pendang Dijangka Kekal Aset BN Kedah Walau Tanding Dua, Tiga Penjuru


ALOR SETAR - Parlimen Pendang dijangka kekal menjadi 'aset' Barisan Nasional (BN) di Kedah walaupun  berlaku pertandingan dua atau tiga penjuru pada Pililhan Raya Umum (PRU) ke-14.

Selepas Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu (Mat Sabu) kecundang  semasa mewakili PAS pada PRU-13, UMNO bahagian Pendang terus mengukuhkan cengkamannya

Pada PRU akan datang, PAS dan PAN dijangka merebut semula Pendang daripada Barisan Nasional selain turut diintai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Umum mengetahui PPBM juga mempunyai pengaruh di Pendang berdasar dua tokoh parti baharu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada masa dulu pernah bertanding atas tiket UMNO di situ sementara anggota majlis tertinggi parti itu, Datuk Kadir Jasin juga berasal daripada Pendang.

Namun PAS masih memunyai 'akar' di kawasan parlimen itu memandangkan bekas presiden parti berkenaan, Allahyarhan Datuk Fadzil Nor pernah mewakili Pendang dan DUN Tokai (dahulu dikenali Bukit Raya). Tokai masih dianggap kubu PAS dalam parlimen itu.  
    
Bagaimanapun UMNO Bahagian Pendang yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang serta berusaha menembusi DUN Tokai yang sekian lama dikuasai PAS pada pada  PRU akan datang ini.

Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Md Rozai Shafian berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi pengundi terhadap UMNO dan BN pada majlis-majlis dan program yang dianjurkan sebelum ini.

"Kita tidak nampak ada kekurangan atau masalah di kalangan pengundi yang menyokong kita selama ini dan kalau kita mahu ukur kehadiran orang ramai pada majlis kita, sambutannya agak luar biasa dan petanda penduduk di sini masih bersama kerajaan BN," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pendang di sini Ahad lalu.

Hadir sama, Anggota Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul serta kepimpinan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO bahagian itu.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, masyarakat minoriti Siam di kawasan itu juga masih utuh menyokong BN kerana mereka telah menilai parti mana yang boleh membantu dan membela mereka sekian lama.

UMNO akan terus mendapingi rakyat bagi menghadapi sepanjang masa kata Mohd Rozai yang menggariskan beberapa perancangan dan strategi bagi menjaga kepentingan ahli dan pengundi di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu itu, Othman berkata, banyak isu rakyat diatasi termasuk rancangan pembinaan Hospital Pendang yang sekian lama dinanti penduduk. Tendernya akan dibuka pada September ini selain permohonan jalan berturap di kampung-kampung.

Pada PRU13 lepas, Othman mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 2,638 undi untuk kerusi Parlimen Pendang, DUN Sungai Tiang dimenangi oleh calon BN, Datuk Suraya Yaacob dengan majoriti 6,944 undi manakala calon PAS, Datuk Mohd Taulan Mat Rasul mempertahankani DUN Tokai dengan majoriti 5,833 undi. - kedahnews.com