GEORGE TOWN - Kira-kira 350 penduduk Kampung Mutiara di Batu Feringghi di sini berhimpun bagi membantah tindakan pihak tuan tanah mengusir dan meroboh kediaman mereka pagi ini.
Mereka berkumpul seawal pukul 9 pagi dengan masing-masing memegang sepanduk bertulis "Lawan tetap lawan", 'Kami bukan samseng" dan "Tolong selamatkan kampung kami".
Kesemua penduduk tersebut merupakan penghuni 42 buah rumah di Lot 39 dan 40 seluas 1.4 hektar di kampung berkenaan.
Tinjauan Kosmo! mendapati penduduk telah meletakkan beberapa batang pokok dan kenderaan dipercayai bertujuan menghalang operasi meroboh dilakukan.
Ketika ini, usaha rundingan sedang dijalankan di antara pemilik tanah berkenaan iaitu Peter Loke Leng Seak bersama pihak kerajaan negeri, mahkamah dan polis di Balai Polis Batu Feringghi.
Pada Februari 2016, penduduk Kampung Mutiara kalah di Mahkamah Rayuan di Putrajaya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memerintahkan mereka mengosongkan dua lot tanah seluas milik orang lain yang mereka duduki di kampung itu.
Sumber: Kosmo