Peneroka Felda Didakwa Menipu Urusan Pengeluaran Permit Pasir


KUALA PILAH - Seorang peneroka Felda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu dalam urusan pengeluaran permit pasir sehingga menyebabkan kerugian RM60,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zain Ahmad, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadap warga emas terbabit di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menipu dengan memperdayakan seorang lelaki menyerahkan RM60,000 secara berperingkat-peringkat kepadanya di Bank Islam Cawangan Kuala Pilah dari 19 Jun hingga 26 Jun 2015.

Mohd. Zain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes disebut semula pada 14 Ogos depan.

Sumber: Kosmo