Pengedar Dadah Tumpas, Rampas Pil Kuda


TUMPAT - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tumpat merampas 405 biji pil kuda dan syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Geting semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengahari, serbuan itu turut membawa penahanan dua lelaki berusia 33 tahun dan 32 tahun.

Penolong Pengarah Penguatkuasa AADK Kelantan, Aman Mustafa berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota AADK Tumpat dan Unit Antidadah Sempadan (UAS) Pengkalan Kubor selepas bertindak hasil maklumat awam.

"Sekumpulan lelaki melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota AADK di kawasan rumah tersebut," katanya.

Aman berkata, bagaimana pun seorang daripada mereka disyaki pengedar dadah berjaya  ditahan dalam serbuan itu.

Katanya, suspek cuba menyembunyikan beg mengandungi dadah apabila melemparnya ke bawah kereta jenis Myvi berwarna kuning.

"Pemeriksaan lanjut ke atas beg itu menemui dua beg plastik mengandungi dadah apabila menemui 263 pil berwarna kemerahan dan dua biji pil berwarna hijau dipercayai pil kuda.

"Turut menemui tujuh tiub straw berisi 138 pil berwarna merah dan dua biji pil berwarna hijau juga dipercayai pil kuda.

"Satu plastik warna biru berisi tiga plastik dan dua tiub straw dipercayai dadah jenis syabu," katanya.

Katanya, seorang lagi lelaki berjaya ditahan ketika berlegar-legar di kawasan tersebut  untuk mendapat bekalan dadah tanpa menyedari kawasan itu diserbu.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tersebut positif dadah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek aktif mengedar dadah di sekitar Pengkalan Kubor dan ini adalah rampasan terbesar AADK Tumpat tahun ini.

Sumber: Sinar Harian