Peniaga Kerepek Ubi Rugi RM7,000

Image result for Peniaga Kerepek Ubi Rugi RM7,000

 KUALA LANGAT – Seorang peniaga kerepek kerugian ­kira-kira RM7,000 apabila wang tunai dan sejumlah 60 bungkus kerepek ubi dan keledek hilang dirompak penjenayah dalam kejadian di Kanchong Darat, Ban­ting di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, bukan sahaja wang tunai dan kerepek lesap malah penjenayah turut merosakkan beberapa bara­ngan di kedai terbabit termasuk menyelerakkan sebahagian besar lagi kerepek di atas lantai.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pengadu menyedari kedainya dipecah masuk ketika baru sampai ke premisnya dan mendapati kesan umpil pada pintu hadapan.

“Pemeriksaan di dalam premis mendapati hampir keseluruhannya berselerak dengan lantai dipenuhi kerepek.

“Pengadu mendapati dua mesin juru­wang, sebuah tabung anak yatim, sejumlah wang tunai dan kira-kira 60 bungkus kerepek lesap,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, polis yang menyia­sat kes itu menemui satu kesan cap jari pada sebuah balang kuih yang terdapat di kaunter juruwang yang hilang.

“Kita telah menghantar kesan cap jari itu ke unit forensik untuk me­ngenal pasti individu yang melakukan jenayah itu,” kata beliau.

Sumber: Kosmo