KUANTAN - Seorang penunggang maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 111, Jalan Kuantan- Segamat, Rompin, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12.05 pagi itu, mangsa, Kuah Yong Heng a/l Kuah Chee Kwan, 18 dari Kampung gadak, Muadzam Shah cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu kereta, Hafidz Mohd Abu Bakar, 28 dari Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Rompin dan Mohamad Azrol Mohd Toyeb, 16 Felda keratong 4 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang bersendirian dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan manakala kereta datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta terbabit.
“Difahamkan pemandu kereta jenis Honda Civic Ferio mengelak ke kiri jalan namun gagal dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri menghala ke Seremban.
“Akibat perlanggaran, penunggang tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku di laluan lurus, keadan cuaca baik dan permukaan jalan kering.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Sinar Harian