KLANG – Gara-gara mahu mengelak sebuah lubang besar di atas jalan raya, seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di Jalan Perigi Nenas 8/7, Pelabuhan Barat, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, Amir Ramli, 31, yang juga pemandu jentera pengangkat barang atau forklift di Pelabuhan Barat disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pinang, Pulau Indah.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak lubang besar yang berada di tengah jalan yang dalam proses pembaikan. Namun keadaan jalan yang sedikit berbatu dan berpasir menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas.
“Akibatnya mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sumber: Kosmo