Peragut Ditahan Selepas Dikejar 5 Kilometer


GEORGE TOWN - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ragut selepas mengejarnya sejauh lima kilometer dari Batu Ferringhi hingga Persiaran Tanjung Bungah di sini semalam.

Sepanjang usaha melarikan diri daripada pihak berkuasa, lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta Perodua Viva berwarna hitam dan positif dadah itu turut melanggar dua kereta peronda polis, sebuah kereta awam dan sebuah motosikal.

"Lelaki itu disyaki terlibat dalam kes ragut di daerah Barat Daya," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari itu, polis mengesan kereta yang dipandu lelaki terbabit di kawasan Batu Ferringhi dan sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut mengejar kereta itu yang menghala ke arah George Town.

Polis mengarahkan lelaki terbabit memberhentikan keretanya tetapi lelaki itu terus memandu hingga ke persimpangan lampu isyarat di Jalan Lembah Permai sebelum membuat pusingan U dan bergesel dengan sebuah motosikal menyebabkan penunggang motosikal itu terjatuh.

"Dia terus memandu hingga ke Persiaran Tanjung Bungah yang juga kawasan perumahan sebelum masuk ke jalan mati menyebabkan dia sekali lagi membuat pusingan U di atas pembahagi  jalan dan merempuh sebuah Proton Iswara yang diletakkan di kawasan itu," katanya.

Anuar berkata walaupun menyedari dikepung, lelaki itu masih cuba melarikan diri dan melanggar dua MPV menyebabkan keretanya tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan pada tayar dan bahagian hadapan.

Lelaki terbabit kemudian keluar daripada keretanya dan cuba melarikan diri ke kawasan perumahan di situ namun berjaya ditahan polis dibantu beberapa orang awam.

Pemeriksaan awal mendapati lelaki yang berasal dari Perlis itu tidak mempunyai kad pengenalan dan dia mendakwa meninggalkannya kepada polis ketika melarikan diri semasa ditahan dalam sekatan jalan raya di Kelantan baru-baru ini.

Kejadian itu menyebabkan dua buah MPV dan sebuah kereta orang awam rosak di bahagian hadapan dan sebuah motosikal turut rosak. Tiada yang cedera dalam kejadian itu. - BERNAMA