Perkasa Bahasa Melayu Di Hospital, Klinik Kesihatan


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Alumni Kelab UMNO Luar Negara Malaysia (AKULN) menyokong penuh keputusan Kabinet menolak hasrat Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjadi pegawai perubatan kontrak.

Ketua Penerangannya, Datuk Nonee Ashirin Mohd. Radzi berkata, AKULN menyokong penuh arahan Kabinet iaitu Kementerian Kesihatan mengekalkan syarat lulus Bahasa Melayu peringkat SPM bagi pegawai perubatan kontrak gred UD41.

“Ini adalah hasil bantuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta tindakan pantas Kementerian Kesihatan.

“Ia juga menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang responsif serta amat mengambil kira pendapat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Nonee Ashirin berkata, Bahasa Melayu perlu kekal sebagai elemen yang mengikat perhubungan dan perpaduan antara pelbagai agama dan bangsa apatah lagi perrkara yang menyentuh tentang Bahasa Kebangsaan, Agama Persekutuan dan artikel 153 tidak boleh diambil remeh.

Kata beliau, semua agensi kerajaan sama ada kementerian atau badan berkanun perlu senantiasa meletakkan kepentingan elemen itu dalam setiap polisi mereka untuk terus memperkuatkan identiti negara ini.

Justeru, beliau mengingatkan Kementerian Kesihatan supaya polisi yang mahu digubal tidak mementingkan segelintir minoriti dan tidak mendatangkan impak negatif secara keseluruhan.

Tegas beliau, sebarang polisi yang berimpak nasional serta melibatkan identiti Malaysia wajar dibincangkan di peringkat Kabinet untuk diperhalusi secara teliti.

Tambah beliau, polisi yang sentiasa berubah tidak mendatangkan faedah dan menambahkan kekeliruan rakyat dan mungkin disalahtafsirkan oleh pelbagai pihak.

“AKULN menggesa agar kabinet memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua hospital dan klinik kesihatan seluruh Malaysia.

“Terima kasih di atas tindakan pantas pucuk pimpinan UMNO dalam menyelesaikan isu yang dekat di hati rakyat menunjukkan sifat pimpinan yang peduli rakyat dan ia amat dihargai,” katanya. -Kedahnews.com