Perundangan Longgar, Exco Kedah Kesal Gejala Dadah Tak Berkurang


ALOR SETAR - Datuk Tajul Urus Mat Zain meluahkan rasa kesal beliau dengan gejala dadah yang masih tidak berkurangan meskipun pihak kerajaan telah berusaha keras membanteras najis dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kerajaan Negeri Kedah itu berkata, pihak kerajaan amat komited dan sanggup berbelanja besar, namun penagih yang ditahan boleh terlepas begitu sahaja gara-gara sistem perundangan yang agak longgar.

"Masalah penagihan dadah sudah berada di tahap serius, walaupun kerajaan sudah berbelanja berbilion ringgit tetapi masalah dadah tidak berkurangan malah ia semakin bertambah.

"Oleh itu dalam hal ini, jelas bukan soal membabitkan agensi terbabit tidak menjalankan kerja tetapi dari aspek perundangan yang kelihatan longgar...

"Penagih dadah boleh dibebas tanpa dituduh disebabkan keputusan saringan air kencing lambat. Sekiranya, masalah undang-undang tidak diselesaikan, masalah dadah juga tidak dapat diselesaikan," katanya kepada media di Program My Beautiful Pemadam, bertempat di Kampung Segantang Garam, Sungai Petani, semalam.

Mengulas lanjut, Tajul Urus yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Kedah memberikan contoh yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan penggunaan daum ketum.

Tegasnya, penyalahgunaan daum ketum merupakan satu tindakan yang memudaratkan, namun tidak mendapat kelulusan di peringkat Parlimen.

"Contohnya dalam isu 'daun ketum' adalah satu bahan bahaya tetapi di peringkat parlimen tidak boleh diluluskan lagi.

"Perkara seperti perlu diberi tumpuan kalau tidak sia-sia usaha yang diambil pihak di peringkat bawahan," ulas beliau.

Program My Beautiful Pemadam semalam melibatkan pelbagai pihak dan agensi, memberi tumpuan kepada kerja membersihkan lokasi penagihan dadah di Kampung Segantang Garam, yang diserbu semalam,

Program itu juga melibatkan kerja meroboh pondok penagih yang didirikan di sepanjang laluan sejauh lebih 200 meter, bersebelahan kolam ternakan udang dan hutan paya bakau di sekitar kawasan berkenaan. - Kedahnews.com