Pesalah Trafik Terus Didakwa Ke Mahkamah


SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang mendakwa pemandu yang menggunakan telefon bimbit dan melanggar lampu isyarat merah terus ke mahkamah dan tidak lagi mengeluarkan kompaun seperti dikuatkuasakan ketika ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, buat masa ini, hanya kesalahan memasuki lorong kecemasan sahaja yang dikenakan hukuman dengan terus didakwa di mahkamah.

"JPJ sedang mengkaji cadangan mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas seperti guna telefon bimbit ketika memandu, langgar lampu isyarat merah, tidak pakai tali pinggang keledar, memotong garisan berkembar, potong barisan dan memandu lorong kanan ( kenderaan perdagangan) untuk terus didakwa di mahkamah," katanya kepada Sin Chew Daily.

Bagaimana pun, katanya, JPJ sedang menunggu maklum balas beberapa agensi seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan polis bagi mengkaji pelaksanaan penguatkuasaan tersebut.

Buat masa ini, pengguna jalan raya yang melakukan tujuh kesalahan utama sepanjang Op Selamat JPJ ketika musim perayaan sahaja terus didakwa di mahkamah.

Sumber: Sinar Harian