Pesara Dari Kuala Nerang Beramal Melalui Bundle Free


KUALA NERANG - Bagi menabur bakti kepada masyarakat di sekitar Padang Terap dan sebagai usaha membantu penduduk miskin di daerah itu, seorang pesara kerajaan sanggup mengumpul pakaian terpakai.

Bagi Abd Aziz A Lateh, 63, berkata, selepas bersara, jiwanya masih ingin berbakti kepada masyarakat dengan mewujudkan kawasan pakaian terpakai Bundle Free di rumahnya agar orang ramai yang melalui di hadapan rumahnya dapat mengambil secara percuma.

Menurutnya, dia berminat mewujudkan pusat pakaian terpakai untuk diberikan secara percuma selepas pakaiannya semasa berkhidmat di pejabat pelajar sudah tidak dipakai lagi.

Bagi meneruskan usahanya untuk berbakti, dia dan keluarganya mengumpul semua pakaian mereka dan diletakkan di hadapan rumah.

"Kebetulan rumah terletak dekat tepi jalan utama dan mudah untuk mereka singgah dan ambil.

"Padang Terap ini antara daerah termiskin di negeri ini dan inilah sumbangan saya yang tak mampu bergerak jauh sebab masalah kesihatan. Jadi dapatlah saya bantu orang miskin dekat sini," katanya.

Abd Aziz berkata, dia hanya membekalkan beg plastik untuk orang ramai membungkus pakaian yang diambil.

"Mereka boleh ambil sebanyak mungkin baju yang ada," katanya.

Tambahnya, setiap kali ada pihak menghantar pakaian, dia dan isterinya, Aminah Musa akan memilih terlebih dahulu supaya baju itu boleh dipakai oleh mereka yang memerlukan.

"Selepas bersihkan pakaian seperti uniform sekolah, seluar dan baju wanita akan digantung bagi memudahkan orang ramai memilihnya.

"Saya tak hadkan mereka untuk ambil baju sebab semua sumbangan orang ramai," katanya yang mula membuka Bundle Free sejak 2013.

Katanya, sejak membuka Bundle Free, hatinya pernah tersentuh apabila ada sebuah keluarga datang pada Ramadan lalu meminta pakaian yang baru dipakai untuk dijadikan baju raya.

"Si ayah tanya saya adakah semua baju ini kena bayar. Saya beritahu semuanya percuma dan mereka boleh pilih.

"Bila saya keluarkan beberapa helai baju yang baru dipakai, mereka sangat gembira. Memang tersentuh hati saya waktu itu," katanya.

Tambahnya, Bundle Free itu dibuka dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan kini purata yang datang mengambil pakaian itu di antara 10 hingga 15 orang sehari.

"Saya bersyukur kerana kerja saya ini turut dapat bantuan dari seluruh negeri yang sanggup hantar baju terpakai melalui pos dan ada juga yang hantar sendiri.

"Yang datang ambil baju juga bukan saja dari Padang Terap tapi ada dari Kuala Muda, Sik dan Baling," katanya.

Malah katanya, dia kini turut membuka tempat air bertapis secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

"Mereka boleh singgah untuk minum atau bawa pulang air yang dah ditapis tanpa sebarang bayaran.

"Saya alu-alukan kepada mereka yang nak hulur pakaian terpakai boleh hubungi di emel aziz_lateh54@yahoo.com atau menghubungi di talian 0194440079 supaya dapat disalurkan pakaian kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sumber: Sinar Online