KUALA LUMPUR - Pesawat AirAsia X yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Brisbane, Australia sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Gold Coast, Australia lewat Isnin.
Kejadian pada jam 10.20 malam waktu tempatan itu dipercayai berlaku akibat kerosakan enjin selepas dilanggar burung.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, berkata penerbangan D7 207 yang membawa 345 orang penumpang dan 14 anak kapal itu selamat mendarat pada jam 11.33 malam waktu tempatan.
“Kami mengikuti setiap garis panduan bagi memastikan keselamatan penumpang, yang mana sedang diuruskan oleh kakitangan kami.
“Kami ingin memuji juruterbang dan anak kapal kami atas sikap professional mereka serta tindakan mereka yang pantas memastikan penumpang D7 207 selamat mendarat di lapangan terbang Brisbane," katanya dalam satu kenyataan.
Pesawat berkenaan berpatah balik selepas mengalami masalah enjin dipercayai disebabkan oleh burung yang masuk ke dalam enjin pesawat, dua bangkai burung turut ditemui di atas landasan.
Ini merupakan insiden kedua baru-baru ini pesawat AirAsia X terpaksa berpatah balik disebabkan kerosakan enjin.
Sumber : Astro Awani