MESKIPUN jadual agak padat, para peserta pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2017 tetap ceria ketika dibawa ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Kali ini mereka melawat Muzium Warisan Melayu dan ia diatur untuk mengenali lebih dalam asal-usul bahasa Melayu serta cara-cara untuk mengembangkan lagi pengguna bahasa itu mengambil konsep lawatan sambil belajar.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi universiti tersebut, Putra Gemilang disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada pihak pentadbiran UPM.
Selesai nyanyian lagu-lagu rasmi, Ketua Jabatan Bahasa Melayu dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Dr. Norazlina Mohd. Karim memberikan ucapan kepada semua peserta PABM 2017 yang hadir.
Beliau menerangkan bahawa tanggungjawab para peserta adalah untuk membina serta mengembangkan lagi bahasa Melayu, termasuk membakukan ejaan dan sebutan dengan mengikuti standard sebenar.
Umumnya ujar beliau lagi, usaha itu merupakan kesinambungan khusus bagi memastikan bahasa Melayu terus selari dan relevan di seantero dunia.
Program diteruskan dengan ucapan wakil UPM, Shariah Membar, memberikan pengenalan mengenai sejarah penubuhan universiti serta menjelaskan tentang kursus intensif bahasa Melayu yang disediakan di UPM.
Para peserta kemudian dibawa ke Muzium Warisan Melayu bagi melihat pelbagai manuskrip sejarah serta sebagai mendalami warisan dan budaya Melayu tradisional.
Mereka berpeluang melihat pelbagai koleksi artifak terpilih yang dibahagikan kepada empat segmen pameran, iaitu koleksi kelestarian jati diri bangsa Melayu yang meliputi manuskrip Melayu dan keagamaan, koleksi tekstil Melayu bermutu tinggi, koleksi busana Melayu dan koleksi persenjataan Melayu yang ampuh.
Menariknya, terdapat satu-satunya manuskrip yang disimpan di muzium ini membicarakan tentang keris khususnya keris Taming Sari, selain manuskrip keagamaan tulisan tangan seawal kurun ke-18 seperti Kitab Ilmu Tasawuf (Dluwang), Usuluddin dan Tauhid Jawa.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dengan berkonsepkan tradisional di mana para peserta dikehendaki duduk bersila menikmati juadah yang disedikan di dalam Rumah Serambi Pahang.
Jangan lupa saksikan secara langsung acara kemuncak PABM 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini menampilkan sembilan peserta dari dalam dan luar negara menerusi tiga kategori yang dipertandingkan. – Kedahnews.com