Pesuruhjaya PAS Selangor 'Tunjuk Pintu Keluar' Kepada Mahfuz


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ditunjukkan 'pintu keluar' oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi agar menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) jika tidak lagi sukakan PAS.

"Kalau mahu, elok Datuk Mahfuz keluar PAS dan masuklah mana-mana parti dalam PH. Saya rasa itu lagi senang..." kata Sallehen yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabak berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahfuz yang masih memujuk PAS bergabung dengan Pakatan Harapan walaupun PAS telah menolak kerjasama politik  dengan DAP, PKR, PAN dan PPBM. 

Mahfuz, bekasNaib Presiden PAS yang mendakwa dirinya masih 'sayangkan' parti asalnya kini cenderung menyokong Pakatan Harapan sambil berharap gabungan baru parti pembangkang itu dapat jatuhkan kerajaan BN pada PRU14 ini.

Kata Sallehen, PAS masih teguh bersama Gagasan Sejahtera yang diasaskan bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan tidak akan menyertai PH bagi menghadapi PRU14. 

Jika benar-benar cenderung dengan perjuangan gabungan berkenaan beliau menasihatkan Mahfuz menyertai mana-mana parti pembangkang itu. 

Sementara itu Sallehen turut menepis tanggapan bahawa PAS adalah 'parti serpihan' atau parti ketiga, sebaliknya mendakwa Pakatan Harapan adalah parti ketiga atasan  PH belum mampu mengatasi PAS di segi sokongan pengundi Melayu.

PAS bukan 'parti ketiga' atau 'serpihan' kerana ia masih menerima sokongan besar daripada pengundi teras, iaitu orang Melayu, katanya yang dipetik daripada Antarapos. 

Baru-baru ini penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat PAS tidak akan mampu menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Sebaliknya, kata Azizuddin, PAS hanya akan menjejaskan undi kepada Pakatan Harapan dalam pertembungan tiga penjuru kelak. 

Sementara itu Sallehen berkata, gabungan empat parti yang membentuk PH bukanlah ukuran untuk meletakkan mereka sebagai 'parti kedua' dalam sistem dua parti. 

"Kalau dianggap sebagai gabungan tetapi tidak mempunyai sokongan yang padu, apatah lagi dalam suasana yang mereka sendiri tak boleh tunjukkan komitmen kesepaduan antara parti, bagi saya itu bukan  pengukur bahawa mereka mempunyai satu gabungan kuat sebagai parti kedua," kata Sallehen. -Kedahnews.com