Pihak PINTA Minta Ubah Tanggapan Negatif Terhadap Pusat Pengajian


GABUNGAN Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) meminta orang awam memperbetulkan tanggapan negatif terhadap pengajian aliran itu susulan insiden menimpa Allahyarham Mohammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Presidennya, Mohd Zahid Mahmood Al-Hafiz berkata, laporan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam jelas membuktikan bahawa kematian Mohammad Thaqif Amin berpunca daripada jangkitan Leptospirosis atau kencing tikus.

"Diharapkan kenyataan rasmi KKM ini dapat mengurai semua persoalan yang timbul berkaitan kematian Allahyarham.

"Selain itu, kita perlu mengambil iktibar yang sewajarnya daripada kejadian ini. PINTA juga memohon agar polis dan Pendakwa Raya dapat mengambil inisiatif yang seperlunya rentetan perkembangan terbaru ini," katanya kepada Harian Metro di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, semoga segala tuduhan dan persepsi negatif yang ditanggung oleh pihak madrasah dan pembantu warden selama ini dapat diperbetulkan dengan sebaiknya.

Sumber: MyMetro