'Pinggan Viral' Mudarat Kesihatan?


PETALING JAYA - Pinggan mangkuk aneka warna dan hiasan memang nampak cantik, tapi ramai yang kurang tahu tentang implikasi penggunaannya.

Sejak tiga minggu lalu, pinggan mangkuk seramik ini tular dengan orang ramai menyerbu Pasar Seni dan beberapa lokasi lain semata-mata untuk mendapatkannya yang dijual pada harga serendah 50 sen.

Tidak lama selepas itu, tular pula dakwaan bahawa penggunaan pinggan mangkuk ini dalam penyediaan dan ketika menghidangkan makanan membahayakan kesihatan.

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia Universiti Malaya, Dr Nor Asrina Sairi berkata kebanyakan pinggan mangkuk, piring atau gelas yang mempunyai warna dan kemasan cantik seperti ini mempunyai kandungan logam berat plumbum (lead) dalam penghasilannya.

Katanya, disebabkan sifatnya yang bertoksid, ia kurang sesuai digunakan untuk menghidangkan makanan atau minuman.

"Bahaya untuk jangka masa panjang terutama untuk kanak-kanak, wanita hamil dan bayi, tapi bahayanya itu bukanlah secara terus atau langsung.

"Ia lebih kepada kuantiti yang sedikit, tapi kalau kita kerap guna dan untuk jangka masa lama, ia akan beri kesan kepada kesihatan," katanya kepada mStar Online.


Menurut Nor Asrina pinggan mangkuk ini begitu mendapat sambutan hangat sekarang berkemungkinan besar disebabkan seluruh permukaannya (luar dan dalam) disadur dengan kemasan atau cat yang menampakkannya lebih menarik.

Ini berbeza dengan situasi dahulu yang mana kebanyakan kemasan atau cat hanya disadurkan di bahagian luar atau tepi mangkuk, pinggan atau cawan.

Bagaimanapun katanya, ramai yang tidak tahu kemasan ini mudah terhakis (leaching) apabila suhu panas atau bertindak balas dengan asid, menyebabkan plumbum akan masuk ke dalam badan manusia dengan cara meresap dalam darah, berkumpul dalam tisu dan seterusnya membawa kepada penyakit serius dalam jangka masa panjang.

"Saya cadangkan pengguna gunakannya untuk perhiasan atau koleksi, elakkan guna untuk hidang makanan harian.

"Kalau warna atau sadurannya di luar, itu OK lagi, tapi bila sekarang trend baru di bahagian dalam pun disalut, itu yang kita agak khuatir," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tetap memberikan nasihat dan panduan kepada pengguna yang tetap berminat untuk menggunakan pinggan mangkuk jenis ini untuk menghidangkan makanan.

Pengguna disarankan untuk tidak menghidangkan makanan atau minuman berasid seperti buah oren, epal, tomato, kicap, sos, kopi, teh atau jus buah-buahan dalam bekas yang menjadi kegemaran mereka itu setiap hari.

"Jangan panaskan makanan dalam pinggan mangkuk ini dan jangan letak makanan panas di permukaannya kerana 'lead' akan cair pada suhu panas.

"Juga, jangan simpan makanan atau minuman di dalamnya lama-lama sebab lebih lama kita simpan, lebih banyak 'leaching' dan lebih banyak lead akan masuk dalam makanan dan minuman," katanya.

Nor Asrina menjelaskan adalah tidak adil untuk menyekat terus masyarakat daripada menggunakan pinggan mangkuk jenis ini.

Apatah lagi terdapat syarikat yang menghasilkan produk 'free lead' yang tiada langsung kandungan plumbum dan 'lead safe' yang bermaksud kandungan plumbum yang sedikit dan selamat digunakan yang biasanya ditulis pada bungkusan atau kotak.

Katanya, kebanyakan syarikat ini mempunyai latar belakang yang meyakinkan dan boleh dipercayai dalam pembuatan pinggan mangkuk seramik.

"Kita cuma boleh bagi kesedaran kepada masyarakat, kalau suka sangat mungkin boleh guna sekali-sekala atau letak makanan sekejap-sekejap sahaja, tapi bukan guna untuk hidang makanan harian," katanya.

Nor Asrina berkata agak sukar untuk mengesan kehadiran atau amaun 'lead' pada sesebuah permukaan dengan mata kasar.

Sumber: Mstar Online