Pinjaman Badan Berkanun Antara Punca Utama Hutang Kerajaan Pusat Meningkat


ALOR SETAR - Pinjaman oleh Badan Berkanun dan syarikat di negara ini dilapor menjadi punca utama peningkatan jumlah hutang negara pada 2016 meningkat sebanyak 17.935 bilion berbanding 2015.

Laporan audit jabatan kerajaan yang dikeluarkan hari ini menunjukkan jaminan kerajaan bagi 4 badan berkanun dan 25 syarikat secara keseluruhan pada 2016 berjumlah RM187.234 bilion berbanding RM177.728 bilion pada 2015, iaitu peningkatan sebanyak RM9.5 bilion.

Badan berkanun yang menerima jaminan pinjaman paling tinggi adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kenaikan berjumlah RM5.15 bilion, dan DanaInfra Nasional Berhad dengan kenaikan berjumlah RM9 bilion.

DanaInfra Nasional dilantik kerajaan untuk antara lain menguruskan perbelanjaan projek MRT.

Selain itu, mulai 2016, kerajaan turut memberi jaminan kepada pinjaman oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam yang berjumlah RM4 bilion.

Syarikat yang mencatatkan pengurangan pinjaman dijamin kerajaan ialah Khazanah Malaysia Berhad yang dilapor berkurangan sebanyak RM2 bilion dan K.L International Airport Berhad mencatat pengurangan sebanyak RM2.3 bilion.

Sementara itu, Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad juga berkurangan sebanyak RM4.3 bilion dan Sarawak Hidro Sdn. Bhd pula berkurangan sebanyak RM4.6 bilion berbanding tahun lalu. - Kedahnews.com