PM Rai Puluhan Ribu Tetamu Di Jamuan Aidilfitri Pekan


PEKAN  - Puluhan ribu tetamu membanjiri Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini bagi menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang tiba kira-kira pukul 10.45 pagi bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak melepaskan kesempatan untuk beramah mesra dengan tetamu terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat yang hadir dalam acara tahunan tersebut.

Rumah terbuka yang bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga 3 petang itu menyajikan pengunjung dengan pelbagai jenis hidangan dan persembahan.

Secara keseluruhannya, lebih 150 gerai menghidangkan pelbagai juadah antaranya ikan patin masak tempoyak, puding raja, opor daging, kambing bakar selain menu ‘wajib’ hari raya seperti lemang, ketupat serta rendang.

Dalam majlis berkenaan, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan bersama isteri turut menyampaikan sumbangan kepada 158 bakal jemaah haji. 

Sumber: Utusan Online