KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada atlet para Malaysia, Muhamad Ziyad Zolkefli atas kejayaannya meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London, Sabtu.
“Tahniah @yardzolkefli , menang pingat emas di #London2017 dan sekali lagi pecah rekod dunia ! #kebanggaanku #Negaraku #MAS,” kata perdana menteri menerusi catatan di laman Twitter rasminya, hari ini.
Pada acara yang berlangsung di Stadium London, Queen Elizabeth Olympic Park, Muhammad Ziyad melakukan lontaran 17.29 meter (m), memperbaharui rekod dunia miliknya yang dilakukan pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun lepas iaitu 16.48m.
Pingat perak diraih oleh atlet dari Ecuador, Stalin David Mosquera dengan jarak 16.61m manakala pemenang pingat emas Paralimpik 2012 Tod Hodgetts dari Australia membawa pulang gangsa dengan lontaran 15.94m. - Bernama