PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.
Berkongsi berita gembira tersebut dengan lebih 50,000 hadirin termasuk golongan peneroka yang tidak berganjak dalam keadaan hujan lebat di Dataran Putrajaya di sini, Najib mengumumkan bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.
"Dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta, pembayaran akan mula dibuat pada penghujung bulan Ogos 2017 ini," katanya dan disambut tepukan gemuruh hadirin pada sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017 di sini.
Selari dengan usaha ke arah tadbir urus dan integriti lebih mantap, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
"Seramai 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman saham FGV akan dilupuskan baki pinjaman mereka dengan kadar ringgit ke ringgit," katanya.
Najib berkata bagi 1,626 peneroka yang telah membayar habis pinjaman, mereka akan menerima ganjaran tunai sebanyak RM1,820.
"Ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM128.10 juta. Bagi peneroka yang tidak pernah membuat sebarang bayaran pinjaman saham FGV kepada Felda, tidak akan menerima insentif ini," katanya.
Beliau turut mengumumkan insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.
Selain itu, dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula turut diwujudkan melibatkan peruntukan RM300 juta bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2017 hingga 2021 bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.
"Ini bermakna, jika hutang bagi kos operasi tanam semula adalah berjumlah RM60,000, sebanyak RM20,000 akan dilupuskan menggunakan dana khas ini, menerusi penilaian berdasarkan permohonan yang dihantar dan diluluskan oleh jawatankuasa di peringkat Felda," jelasnya.
- Bernama