GEORGETOWN - Anggota dan pegawai polis diminta agar tidak mempraktikkan amalan 'kawtim' dengan pemberi rasuah ketika menjalankan tugas di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, beliau sentiasa menekankan perkara itu kepada semua anggota dan pegawai Kontinjen Pulau Pinang agar tidak membuat keputusan sendiri dalam menyelesaikan kes.
Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang didapati menerima rasuah dalam tugas mereka.
"Amalan rasuah adalah satu racun yang akan memusnahkan sesebuah organisasi itu. Oleh itu, polis Pulau Pinang komited dalam membasmi amalan rasuah ini di kalangan anggota dan pegawai kerana ia akan memberi imej integriti yang baik kepada masyarakat.
"Saya selalu menasihati anggota dan pegawai agar jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas. Jangan sesekali salah guna kuasa dan buat mahkamah sendiri di luar, maknanya selesai sendiri tanpa melalui penyiasatan dan sebagainya," katanya kepada media.
Terdahulu, Roslee mengetuai 700 pegawai dan anggota Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang melafazkan Ikrar Banteras Rasuah (IBR) yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban di sini pagi tadi.
Sumber: Sinar Harian