Polis Perak Tahan 19 Kaki Judi, Rampas 115 Mesin Simulator


SUNGAI SIPUT - Polis menahan 19 kaki judi dan merampas 115 unit mesin simulator bernilai kira-kira RM200,000 dalam serbuan Op Dadu Mesin Perjudian di Persiaran Komersil Waterfront, Lintang dekat sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 7 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, kesemua 19 lelaki berusia 20 hingga 60 tahun itu ditahan ketika sedang leka berjudi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, turut ditahan dalam serbuan tersebut ialah 11 penjaga premis iaitu lapan lelaki dan tiga perempuan.

Katanya, pihaknya merampas 115 unit mesin simulator pelbagai jenis, peranti sistem kamera litar tertutup (CCTV), sebuah televisyen, 25 cip tambah nilai, tujuh buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM14,670.

“Kesemua yang ditangkap kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. 

Sumber: Utusan Online