Polis Perlis Pantau Komunikasi Menggunakan 'Walkie-Talkie'


POLIS Perlis akan memantau terus komunikasi menggunakan ‘walkie-talkie’ bagi memastikan pergerakan anggota dan pegawai ketika bertugas berjalan lancar.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias, berkata, pemantauan melalui alat komunikasi itu akan memudahkan anggota membuat keputusan sekiranya berhadapan apa jua situasi jenayah atau kemalangan.

Menurutnya, menerusi pemantauan ‘walkie-talkie’ ini, jika ada anggota buntu ketika bertugas, mereka lebih mudah membuat keputusan selepas mendapat arahan terus dari pegawai atasan.

“Saya akan sentiasa mendengar 'walkie-talkie’... jika saya ada tugasan, Timbalan Ketua Polis akan dengar... Ketua Polis Daerah juga akan dengar... jika tiada masalah kami hanya mendengar, tetapi jika ada yang tidak kena kami akan memberi arahan untuk tindakan yang perlu diambil.

"Pendekatan itu pernah digunakan saya sebelum ini ketika menjadi Ketua Polis Daerah Shah Alam di Selangor serta di Ipoh, Perak dan ia terbukti berkesan dalam melancarkan pergerakan anggota," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Perlis di Mes Pegawai Kanan Polis Perlis, Kangar, di sini, hari ini.

Pada majlis sama Azisman turut menerima kunjungan hormat Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim.

Sumber: MyMetro