Polis P.Pinang Giat Cari Suspek Lolos Dari Lokap


GEORGETOWN - Suspek yang meloloskan diri dari tahanan polis dua minggu lalu dipercayai sudah berada di negara jiran.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, polis bagaimanapun masih giat mengesan suspek berkenaan yang meloloskan diri dari lokap berpusat Bayan Baru, 9 Julai lalu.

“Buat masa ini, suspek masih gagal dikesan. Kita percaya, dia sudah ke luar negara, mungkin negara jiran.

“Polis Pulau Pinang bekerjasama dengan semua pihak termasuk polis dari kontinjen lain dan Interpol bagi mengesan suspek,” katanya kepada media semalam.

Roslee berkata demikian di Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini semalam.

Beliau menambah, kertas siasatan lapan anggota polis yang bersubahat dengan suspek juga telah siap dan diserahkan kepada Ketua Unit Pendakwa (KUP) minggu lalu untuk tindakan lanjut.

“Semua anggota polis berusia 27 hingga 59 tahun yang terlibat dalam kes itu masih digantung kerja,” katanya.

Dalam kejadian 9 Julai lalu, tiga tahanan dibawa keluar dari lokap berpusat Bayan Baru dekat sini pada 2 pagi dengan alasan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun siasatan mendapati mereka dibawa bertemu keluarga masing-masing di Sungai Ara.

Seorang daripada mereka, Anuar Ayat, 43 yang merupakan tahanan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya melarikan diri ketika dikatakan bertemu dengan rakannya di Sungai Nibong selepas menemui keluarganya di sebuah kondominium di Sungai Ara.

Dalam pada itu, Roslee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai yang didapati menerima rasuah dalam tugas mereka.

“Amalan rasuah adalah satu racun yang akan memusnahkan sesebuah organisasi itu. Oleh itu, polis Pulau Pinang komited dalam membasmi amalan rasuah ini dalam kalangan anggota dan pegawai.

“Tanggungjawab dan kuasa yang diberi kepada polis amat besar. Kita perlu pastikan tanggungjawab yang diberikan itu dijalankan dengan baik. Saya selalu menasihati anggota dan pegawai agar jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama anggota dan pegawai PDRM agar membuat laporan jika terdapat cubaan merasuah ketika mereka menjalankan tugas.

“Tiga tahun lalu, hampir tiada kes anggota polis buat laporan namun tahun ini, ada perubahan. Setakat hari ini (semalam), ada empat kes pegawai polis membuat laporan kepada kita (SPRM) bahawa mereka cuba disogokkan.

“Ini yang kita mahu, kerjasama daripada semua pihak agar kita sama-sama banteras rasuah. Kita akan beri pengiktirafan kepada penjawat awam yang beri maklumat. Kita ada panel untuk beri pengiktirafan ini dengan pemberian wang tunai, minimum RM500 dan sijil,” katanya.

Sumber: Sinar Online