PPBM, PAN Bakal Diberi Kerusi Sukar Oleh PKR Di Kedah?


ALOR SETAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini memberi ingatan kepada parti-parti sekutunya dalam Pakatan Harapan agar tidak mengusik kerusi Parlimen yang disandang oleh PKR pada Pilihan Raya Umum  (PRU) 2015. 

Malah PKR juga tidak membenarkan rakan sekutunya mengambil kerusi PKR yang mengalami kekalahan  tipis  kepada Barisan Nasional (BN).

Ingatan berupa 'amaran' itu tentunya ditujukan kepada DAP,  Parti Amanah Negara (PAN) dan juga pendatang baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Walaupun Dr. Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai peneraju PH dalam menghadapi PRU14,  Pengerusi PPBM itu juga perlu mematuhi 'ketetapan' yang dibuat oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semasa Kongres Nasional Tahunan Ke-12 parti itu Mei lalu.

" PKR tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi Parlimen yang dimenangi  pada pilihan raya umum lepas kepada rakan pembangkang pada PRU-14," katanya.

Menurut Saifuddin perkara itu diamanahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan kepada pimpinan parti yang terlibat dalam proses rundingan.

“Anwar berpesan kepada parti, 30 kerusi Parlimen yang PKR sudah menang tidak boleh diserahkan langsung kepada sesiapa.

“Selain itu, kerusi yang PKR hampir menang atau kalah tipis juga tidak boleh diserahkan kepada sesiapa,” katanya.

Di negeri Kedah, PKR menang empat kerusi Parlimen, iaitu Alor Setar, Kuala Kedah, Sungai Petani dan Padang Serai pada PRU lepas

PKR juga bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu dan Merbok tetapi gagal. Sembilan kawasan Parlimen lagi ditandingi oleh PAS dan hanya menang satu kerusi, iaitu Parlimen Pokok Sena. 

Baru-baru ini PAS menyatakan untuk meletakkan calonnya di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk kawasan tradisinya dan kawasan bandar yang mempunyai  majoriti pengundi Melayu.

Jika enam kerusi PKR tidak boleh diusik rakan sekutu dalam PH, ini  bermakna PPBM dan PAN perlu berkongsi sembilan kerusi Parlimen yang ditandingi PAS secara tradisi sebelum wujud pakatan pembangkang di negeri ini.

PPBMdikatakan memberi tumpuan pada kerusi Parlimen di Kedah pada PRU14 bagi membantu menumbangkan kerajaan BN yang menjadi matlamat utama Dr. Mahathir.-Kedahnews.com