Puas Hati Usaha SADA Atasi Kesulitan Air Semasa Aidilfitri


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah puas hati dengan usaha yang diambil Syarikat Air Darulaman (SADA) yang berjaya mengatasi masalah bekalan air kepada penduduk negeri ini semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya mendapati tidak ramai yang merungut berikutan persiapan awal dan  rapi yang diambil  oleh SADA bagi mengatasi masalah bekalan air dan kesulitan itu  tidak berulang lagi seperti musim raya lepas tahun lalu.

Ahmad Bashah juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang bekerjasama memberikan maklumat mengenai kesulitan bekalan air pada musim perayaan ini dan ia dapat dibekalkan oleh SADA kepada mereka.

Keseluruhan masalah bekalan air dapat diatasi pada hari perayaan Adilfitri ini dengan SADA melipat gandakan bekalan termasuk menyediakan hampir 2,000 tangki takungan air serta kekerapan lori tangki mengagihkan bekalan terutama di kawasan kritikal, kata Ahmad Bashah.

Menurut beliau, ramai penduduk yang mengadakan rumah terbuka dan mengambil kesempatan membuat majlis kenduri kahwin juga tidak menghadapi kesulitan air lagi.

Menteri Besar menyatakan perkara itu kepada Kedahnews semasa ditemui selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Saga, Alor Mengkudu, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Syed Hafiz Syed Mustapa, ketua cawangan UMNO,  pemimpin MCA dan MIC bahagian Alor Setar serta ketua masyarakat setempat. -Kedahnews.com