ALOR SETAR - Pergerakan Puteri UMNO Kedah perlu lebih kreatif, pantas dan bijak dalam merancang untuk menyaingi langkah parti lawan dalam menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.
Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan berkata, anggota Putri hendaklah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) bagi berdepan dengan pembangkang yang kini begitu giat menyerang.
Puteri UMNO ini sepatutnya sudah memasuki 'suasana perang' untuk kembali merampas kerusi yang ditawan pembangkang termasuk di kawasan Kuala Kedah.
"Dengan pelbagai 'drama politik pembangkang' sekarang, sudah sampai masanya perwakilan-perwakilan yang ada di sini berada dalam keadaa siap siaga, " katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini semalam.
Di samping itu, Zahida turut menyeru agar perwakilan Puteri UMNO menjadi pendamai sekiranya berlaku kerenggangan dalam kepimpinan Barisan Nasional di kawasan mereka.
Katanya, sebagai sayap dalam keluarga UMNO, sudah menjadi tanggungjawab Puteri bertindak sebagai penghubung dalam usaha memastikan tiada keretakan yang berlaku di antara ahli.
"Zaman menang pilihan raya dengan mudah sudah berlalu buat BN dan kita perlu akui hakikat ini.
Justeru, kunci utama untuk memastikan kecemerlangan parti ini kekal adalah kerjasama dan hubungan baik antara ahlinya," katanya. - Kedahnews.com.