Putin Perlu Tebus Kesalahan Akibat Kematian Penumpang MH17 - Peguam Mangsa


SYDNEY – Presiden Rusia, Vladimir Putin perlu “menebus kesalahan” berhubung kematian penumpang dan kru sebuah pesawat milik Penerbangan Malaysia yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine, kata peguam yang mewakili mangsa semalam, menje­lang ulang tahun ketiga insiden itu.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh dalam zon konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengakibatkan semua 298 penumpang dan anak kapalnya terbunuh termasuk 38 warga Australia.
Hasil siasatan awal pada tahun lalu merumuskan bahawa pesawat jenis Boeing 777-200 itu ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu BUK yang dibawa masuk dari Rusia.
Moscow berulang kali menafikan pembabitannya dan menyalahkan Kiev atas insiden tersebut.
“Klien saya menunggu hampir tiga tahun, (namun), Rusia terus cuci tangan.
“Saya akan menggunakan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dan semua saluran yang ada supaya Kremlin bertanggungjawab. Adakan pertemuan dengan saya dan akhirnya tebus kesalahan terhadap mangsa tragedi ini.” kata peguam Amerika Syarikat yang mewakili mangsa dari Australia, Malaysia, New Zealand dan Belanda, Jerome Skinner dalam akhbar Sydney Morning Herald.
Rayuan Skinner dibuat seminggu selepas negara yang mengetuai pasukan siasatan bersama terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine bersetuju bahawa sebarang perbicaraan jenayah mengenai tragedi MH17 akan dilakukan di bawah sistem perundangan Belanda.
Siasatan awal mendapati terdapat kira-kira 100 individu memainkan ‘peranan aktif’ dalam insiden itu. – AFP