Rabies: 2 Kanak-Kanak Di Kuala Sepetang Dipantau


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan akan terus memantau keadaan kesihatan dua orang kanak-kanak yang digigit seekor anjing peliharaan mereka di Kuala Sepetang, Taiping, Perak untuk tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kata Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata walaupun kanak-kanak terbabit disahkan dalam keadaan stabil dan tidak mempunyai gejala klinikal tetapi pemerhatian teliti perlu diberikan untuk memastikan mereka benar-benar stabil dan bebas virus rabies.

Berdasarkan kes-kes terdahulu, katanya, semua mangsa yang dikesan positif virus rabies atau penyakit anjing gila hanya disahkan selepas dua atau tiga bulan digigit, bukan sejurus digigit haiwan berkenaan.

"Walaupun pada masa ini pesakit tiada tanda-tanda rabies, kita mesti lakukan pemantauan dan rawatan untuk melihat perkembangan kesihatan mereka dari semasa ke semasa.

"Tempoh untuk menentukan pesakit benar-benar bebas daripada virus memang panjang dan sebab itu kita perlu mengikuti perkembangan mereka sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan lagi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Subramaniam turut mengakui kes rabies di Kuala Sepetang itu sebagai luar biasa kerana lokasi kejadian adalah di luar dari kawasan jangkitan wabak rabies dan jauh daripada sempadan negara jiran, yang biasanya virus itu mudah menjangkiti haiwan dan mereka yang terkena gigitan.

Untuk itu, beliau mengharapkan Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) yang sedang menjalankan siasatan terhadap punca virus rabies pada anjing berkenaan segera menemui punca bagi memudahkan tindakan lanjut.

Ahad lalu, JPV Perak mengesahkan seekor anjing peliharaan yang positif rabies mati, sembilan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.

Lanjutan itu, kerajaan negeri mewartakan kawasan Mukim Matang dalam daerah Larut, Matang dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit rabies, manakala JPV negeri memusnahkan 19 ekor anjing terbiar di kawasan itu semalam sebagai langkah mengekang penularan penyakit berkenaan.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata penularan virus rabies dalam negara adalah terkawal dan langkah pencegahan sudah ditingkatkan bagi lokasi-lokasi yang terjejas akibat rabies atau diisytihar kawasan rabies.

Beliau berkata, sehingga kini hanya lima kes rabies dilaporkan iaitu empat di Serian, Sarawak yang mana kesemua mangsa meninggal dunia dan satu kes sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak, manakala kementerian melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga menjalankan penjujukan asid deoksiribonukleik (DNA) virus rabies yang diasingkan daripada kes rabies di Serian Sarawak.

Hasil pemeriksaan lanjut menunjukkan virus berkenaan mempunyai persamaan paling tinggi dengan virus rabies yang berasal dari Kalimantan, katanya. - BERNAMA