KLANG - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Sabtu berkenan menamakan sebuah kapal peronda pesisir milik Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) sebagai KM Arau.
Turut berangkat ke majlis penamaan kapal berkenaan di Pusat Hidrografi Negara di sini ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Kapal peronda berkenaan adalah kapal kedua dihadiahkan oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia selepas KM Pekan yang dinamakan pada Mac lepas.
KM Arau tiba di negara ini pada 7 Jun lepas dari Jepun dan akan ditempatkan di perairan Kota Kinabalu, Sabah untuk memulakan tugas rondaan laut serta operasi mencari dan menyelamat Rabu ini.
Sementara itu Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar berkata pertambahan KM Arau sebagai aset terbaharu APMM dilihat dapat memantapkan lagi usaha pihaknya memelihara keselamatan perairan negara.
Menurut beliau setakat ini aset di laut yang dimiliki APMM adalah sebanyak 160 bot pelbagai jenis dan 80 kapal termasuk empat buah kapal peronda pesisir.
"Kemampuan KM Arau lebih kurang sama dengan KM Pekan. Kapal ini boleh berada di laut selama 21 hari tanpa ulang bekal selain pengawasan radarnya yang boleh mengesan kehadiran dan kedudukan kapal-kapal kecil sehingga 50 batu nautika dapat membendung kegiatan pencerobohan di perairan negara.
"APMM melihat pertambahan kapal peronda besar ini akan menjadi pemangkin untuk kita fikirkan corak operasi yang baharu memandangkan kemampuannya berada lebih lama di laut," katanya kepada pemberita.
Mengulas mengenai KM Pekan, beliau berkata sejak kapal berkenaan mula beroperasi pada 17 April lepas, sebanyak 32 pemeriksaan serta sembilan tangkapan membabitkan lapan bot nelayan asing telah dilakukan dan ia memberi impak yang sangat berkesan kepada keselamatan perairan negara khususnya dalam aspek pencegahan.
Tambah beliau, APMM dijangka akan menambah tiga lagi kapal peronda pesisir yang baharu dalam tempoh tiga tahun lagi bagi memperkukuh operasi agensi itu di seluruh perairan negara.
KM Arau sepanjang 87 meter dengan kelajuan 19 knot itu dilengkapi dek pendaratan helikopter, radar X dan S serta boleh menempatkan 54 kru sepanjang melaksanakan operasi di laut. - BERNAMA