Rakyat Malaysia Pertama Sertai Liga Pro Kabaddi India


KUALA LUMPUR – Malaysia mungkin bukan negara yang menjadi “gergasi” kabaddi di rantau ini tetapi seorang pemain Malaysia sendiri, B. Mugilan kini beraksi dalam Liga Pro Kabaddi di India.

Pemain berusia 24 tahun, yang mewakili negara pada Sukan Asia 2014 Incheon dan Sukan Pantai Asia 2016 di Vietnam, akan membuat penampilan dalam aksi Tamil Thalaivas dari Tamil Nadu.

Dia dilaporkan menentang Telegu Titans pada musim kelima liga profesional itu kelmarin (waktu tempatan).

Mugilan, seorang pemandu lori dari Negeri Sembilan, melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama bermain dalam liga selama 13 minggu itu, meliputi 138 perlawanan di 11 negeri yang bermula kelmarin hingga 28 Oktober.

Menurut setiausaha agung Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM) E. Padmanathan, persatuan itu menghantar dua pemain untuk pemilihan pemain yang diadakan pada Mei tetapi hanya Mugilan berjaya dalam pemilihan.

“Mugilan adalah seorang pemain yang bekerja keras, berdisiplin dan mempunyai keazaman yang tinggi. Beliau merupakan tulang belakang pasukan kami semasa kempen Sukan Asia.

“Sekarang beliau menjadi rakyat Malaysia yang pertama beraksi dalam liga kabaddi yang berprestij di dunia dengan ditonton oleh sejumlah besar peminat sukan itu,” kata beliau kepada Bernama.

Sebanyak 12 pasukan akan bersaing dalam liga selama tiga bulan itu yang akan menyaksikan penampilan Tamil Thalaivas bersama tiga lagi pendatang baharu iaitu Haryana Steelers, Gujarat Fortune Giants dan UP Yoddhas.

Tamil Thalaivas dimiliki oleh oleh bintang kriket India, Sachin Tendulkar dan ahli perniagaan, N. Prasad, sementara bintang filem kelahiran India Selatan Kamal Haasan dilantik sebagai duta jenama bagi kelab itu.

Jumlah penonton yang menyaksikan liga itu mencatatkan peningkatan mendadak setiap musim daripada 435 juta penonton pada musim sulungnya dengan disiarkan di negara-negara seperti Australia, Bangladesh, Pakistan, Kanada, Afrika Selatan, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Arab Saudi. – BERNAMA