ALOR SETAR - UMNO tidak kesal dengan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan kembali kepada UMNO walaupun jika Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi menjadi perdana menteri.
Malah pemimpin parti melihat kedudukan UMNO bertambah kukuh apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu meninggalkan parti buat kali ketiga dan mahu pula menghancurkan UMNO kerana Presiden UMNO dan Perdana Menteri enggan menuruti kehendak peribadinya.
Para pemimpin UMNO juga mengalu-alukan keputusan muktamad Dr. Mahathir untuk tidak kembali semula kepada parti keramat orang Melayu yang pernah menjulangnya dahulu dan kini mahu pula dihancurkannya apabila mengadakan kerjasama dengan DAP.
Malah pengakuan Dr. Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz bahawa beliau (Mahathir) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin merancang untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan dua tahun lalu menguatkan lagi bahawa bekas pemimpin negara itu tidak harus diterima semula oleh UMNO.
Bagi Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pendirian bekas perdana menteri enggan kembali semula menyokong parti terbesar dalam negara ini adalah wajar, malah lebih baik bagi UMNO.
Katanya, sepanjang hampir dua tahun ini rakyat dapat melihat dan menilai bagaimana Pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan itu berusaha bermati-matian untuk menumbangkan UMNO dan kerajaan sehingga sanggup bersekongkol dengan DAP.
"Beliau pernah duduk di situ sebagai Presiden UMNO sekian lama tetapi caranya menyerang parti dalam tempoh dua tahun ini saya kira cukup teruk.
"Kalau dia kata tidak masuk pun eloklah..... Kita pun tidak rasa kesal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini baru-baru ini.
Bagi Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mustapa Mohamed, kenyataan Dr. Mahathir itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana apa yang penting, dalam apa jua keadaan sekalipun, anggota UMNO perlu merapatkan barisan dan bersatu hati.
"Hari ini sudah ada tanda-tanda kebangkitan yang sangat baik terhadap UMNO dan kepimpinan Datuk Seri Najib. Insya-Allah kita yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mencapai kejayaan yang cemerlang (pada pilihan raya umum ini)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Baling Sabtu lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata isu keluar dan masuk semula parti bukan perkara baharu bagi Dr Mahathir kerana beliau sudah beberapa kali berbuat demikian.
"Saya rasa Tun dah tidak ada modal lagi, hari-hari ada cerita baharu. Sama ada beliau balik kepada UMNO atau tidak, saya hendak tanya kepada anggota UMNO, kalau beliau hendak balik kepada UMNO pun, anggota UMNO akan terima beliau balik?" katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Bandar Tun Razak, di sini.
Semalam, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata kekuatan parti UMNO bukan terletak kepada individu mahupun presidennya, tetapi adalah disebabkan perpaduan di kalangan tiga juta anggotanya di seluruh negara.
"Malah bila Allahyarham Datuk Onn Jaafar, pengasas UMNO meninggalkan parti ini, UMNO tidak terkubur begitu sahaja, malah parti keramat ini terus kekal subur sehingga kini, sebab itu apabila Tun Dr Mahathir kata dia tidak akan kembali kepada UMNO, go ahead tak jadi masalah kepada UMNO.
"Saya bukan takbur, saya bukan hina dia kerana saya sedar dan tawaduk kekuatan saya kini adalah disebabkan sokongan oleh lebih tiga juta anggota parti ini," katanya semasa merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Lipis. - Kedahnews.com