Rampas 18 Guni Ketum Di Chuping Perlis


LELAKI ditahan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Bidor, Perak (Senoi Praaq) bersama 18 guni daun ketum dalam kawasan Ops Wawasan berhampiran Chuping, Perlis, semalam.

Difahamkan keseluruhan daun ketum seberat 529 kilogram dan dianggarkan bernilai RM42,320 itu cuba diseludup ke Thailand kerana permintaan dan harganya tinggi di sana.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, lima anggota PGA yang melakukan rondaan di kawasan jalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand terserempak Mitsubishi Pajero dan Toyota Hilux serta sembilan lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim berkata, anggota terbabit yang mengesyaki berlaku penyeludupan kemudian mengejar kenderaan terbabit dengan bantuan Inspektor Mohd Syukri Abdul Talib dan sembilan anggota lain.

Katanya, pihaknya menahan Mitsubishi Pajero itu, namun pemandu dan penumpangnya melarikan diri.

"Sebaik memeriksa kenderaan itu, anggota PGA menemui 18 guni putih berisi daun disyaki ketum dan satu paket kecil biru disyaki syabu.

"Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui lelaki dipercayai seorang daripada suspek di kawasan sekitar Pajero tersebut yang mengaku terbabit dengan kegiatan itu (menyeludup).

“Suspek dihantar ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Mohd Shahar berkata, suspek berusia 26 tahun itu berasal dari Padang Besar, Perlis dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Sumber: MyMetro