Rasuah: Warden Penjara Pusat Koreksional Perlis Ditahan


KANGAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan seorang warden penjara Pusat Koreksional Negeri dipercayai menerima rasuah bagi tujuan membawa masuk barangan terlarang untuk beberapa banduan.

Pengarahnya, Yaacop Angah dalam kenyataan hari ini berkata, suspek berusia 33 tahun itu diberkas di pejabat SPRM di sini pada jam 7 malam, semalam.

"Maklumat siasatan mendapati suspek telah beberapa kali menerima suapan wang tunai dengan nilai antara RM200 dan RM1,500 (setiap kali suapan) yang berjumlah keseluruhan RM3,300.

"Suspek melakukan perbuatan tersebut sepanjang Mac 2017 lepas yang diterima menerusi akaun bank peribadinya," katanya menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda sehingga 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.- Bernama