Rayuan Pendakwaan Kes Bunuh Pegawai JAIP Dibatalkan


PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan isteri ketiga Tuan Harun atau Harun Mat Saat dan seorang lagi daripada tuduhan berkonspirasi melakukan pembunuhan terhadap ketua penolong pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abd Malek.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mengetuai panel tiga hakim, membatalkan rayuan pendakwaan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa memberitahu mahkamah bahawa notis rayuan gagal diserahkan kepada wanita itu, Azida Mohd Zol, 33, dan pemandu mereka Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, buat kali ketiga.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes berkenaan di hadapan panel hakim yang turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.

Notis rayuan perlu diserahkan kepada kedua-dua responden itu yang dikehendaki hadir pada pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan mereka.

Azida dan Shaizral Eddie tidak hadir pada sebutan kali pertama kes itu pada 3 Mei lepas, kali kedua pada 2 Jun lepas dan hari ini berikutan notis rayuan tidak dapat diserahkan kepada mereka.

Pada 27 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang membebaskan mereka daripada pertuduhan berkonspirasi melakukan pembunuhan terhadap Ahmad Raffli di rumah nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini, pada 1.50 petang, 10 Nov 2013.

Harun, yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan Harun, sebelum ini turut didakwa atas pertuduhan berkonspirasi.

Bagaimanapun pertuduhan itu digugurkan pada 26 Ogos tahun lepas setelah dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan  pada 16 Ogos 2016 akibat masalah pernafasan.

Bagaimanapun, mahkamah itu menjatuhkan hukuman mati terhadap dua pengikut Tuhan Harun iaitu  Sumustapha Suradi, 41, dan Shamsinar Abdul Halim, 39, selepas didapati bersalah membunuh Ahmad Raffli di tempat, tarikh dan masa sama. - Bernama