Remaja 16 Tahun Antara Kantoi Berpesta Dadah


BESUT – Keghairahan sekumpulan 11 remaja yang dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan berpesta di sebuah inap desa terbongkar selepas kediaman tersebut diserbu dalam operasi di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja di sini, semalam.

Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Narkotik Daerah (BJND) Besut hasil maklumat orang awam.

Difahamkan, suspek termasuk empat pelajar tingkatan empat dan lima sebuah sekolah di Alor Lintang di sini turut dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan curi motosikal berdasarkan beberapa peralatan seperti pemotong besi siku T dan parang yang dijumpai di dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, pemeriksaan di dalam inap desa yang disewa kesemua suspek dengan kadar RM180 semalam itu turut menemui 30 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5, lima biji pil ecstacy dan 0.2 gram ketulan yaba yang dianggarkan bernilai RM465.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di premis terbabit selepas polis mendapat maklumat ia telah dijadikan pusat hiburan dan aktiviti dadah oleh kesemua suspek yang telah memasukinya pada Isnin lalu.

“Pintu kaca rumah yang dijadikan inap desa tersebut terpaksa diumpil setelah penghuninya enggan membuka kerana dipercayai berada dalam kea­daan khayal.

“Selain menjumpai semua dadah terbabit yang disorokkan di tingkap tandas dan dapur rumah tersebut, beberapa peralatan menghisap dadah turut ditemui di dalam sebuah bilik di dalam rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini semalam.

Sumber: Kosmo