REMAJA perempuan didakwa hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Jugra Jaya, Banting, malam tadi.
Aishah Natasha Nasaruddin, 15, dilaporkan keluar dengan membawa telefon bimbit serta dompet namun gagal dihubungi sehingga kini.
Bapa mangsa, Nasaruddin Abdullah, 57, berkata, sebelum dia keluar rumah kira-kira 11 malam tadi anak keenam daripada tujuh beradik itu sedang menonton televisyen.
Ketika itu katanya, isterinya yang berada di rumah sudah tidur manakala anak lelakinya iaitu abang Aishah Natasha berusia 20 tahun berada di luar rumah.
"Namun ketika pulang ke rumah kira-kira 1 pagi tadi saya dapati televisyen masih terbuka, namun anak saya tiada.
"Saya cari dia namun tiada sebelum mendapati pintu belakang terbuka serta tidak berkunci," katanya.
Nasaruddin berkata, anaknya itu dipercayai keluar dengan hanya membawa dompet serta telefon bimbit namun gagal dihubungi sehingga kini.
"Kami tanya dengan rakan-rakannya serta jiran namun masih gagal mengesannya.
"Jiran ada memberitahu mereka ternampak teksi eksekutif biru jenis Toyota Innova serta Perodua Myvi putih berlegar di kawasan perumahan di sini malam tadi.
"Mereka turut nampak teksi berkenaan berhenti berdekatan rumah kami namun tak pasti sama ada anak kami menaikinya atau tak," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Banting, kira-kira 2 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan.
"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
Sumber : MyMetro