Remaja 'Runner' Jual Dadah Ditahan Polis Di Pulau Pinang


BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai 'runner' menghantar bekalan dadah kepada pembeli berjaya ditahan di Jalan Lebuh Kurau, Taman Chai Leng Park di Perai dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menahan lelaki yang sedang memandu kereta jenis Perodua Bezza itu di tepi jalan berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.

"Semasa ditahan remaja itu dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pembelinya dan hasil pemeriksaan awal polis menemui dadah jenis syabu seberat 118.6 gram di dalam kereta suspek. Susulan itu kami menyerbu rumah remaja tersebut serta merampas syabu sebanyak 202.4 gram.

“Semua dadah bernilai RM22,470 yang dirampas itu adalah untuk dihantar kepada pelanggannya," katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, suspek terlibat dalam kegiatan menjual dadah beberapa tahun lepas dan dia juga sudah tidak bersekolah sejak Tingkatan Satu.

​​​​​​Nik Ros Azhan berkata, lelaki itu mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket sebelum menghantar kepada pelanggannya dan dia dipercayai menerima upah ribuan ringgit setiap bulan berdasarkan jumlah syabu yang dihantar.

"Remaja itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis juga sedang kesan sindiket pengedaran dadah berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai mekanik kerana terlibat dalam kegiatan curi kenderaan di daerah SPT dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Ketil, Kedah semalam.

Katanya lelaki itu berperanan untuk meleraikan komponen kereta dan motosikal yang dicuri sebelum  menjual kepada pembelinya dengan harga murah.

"Hasil risikan dan intipan polis, kami menyerbu rumah lelaki itu pada pukul 12.30 tengah malam dan hasil pemeriksaan suspek yang mempunyai kepakaran dalam bidang meleraikan komponen kenderaan terlibat kegiatan tersebut sejak awal tahun ini," katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman selama empat hari untuk membantu siasatan dan polis sedang mengesan beberapa lagi anggota geng curi kenderaan berkenaan. – Bernama