Reman 6 Suspek Bunuh Bayi Sambung 7 Hari


AYER KEROH - Tempoh reman enam individu termasuk sepasang suami isteri bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi lelaki di dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin, dilanjutkan sehingga 6 Ogos ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi pada jam 11 pagi tadi.

Mereka yang berusia antara 16 hingga 30-an lengkap berpakaian lokap tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.15 pagi.

Sebelum ini, mereka direman tujuh hari bermula 24 Julai lalu dan tempoh reman terhadap semua suspek tamat hari ini.

BH pada 23 Julai lalu melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam hari ditemui mati di dalam perigi disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri.

Mayat bayi sempurna fizikal dan masih berbalut kain lampin putih itu ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dari perigi dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Balai (BBP) Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam.

Sumber: BH Online