HARAPAN seorang lagi atlet para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk menghadiahkan emas ketiga negara di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London tidak kesampaian.
Ridzuan yang beraksi dalam acara 100 meter T36 (Cerebral Palsy) menamatkan cabaran di kedudukan kedua untuk perak apabila merekodkan 12.15 saat.
Pemenang pingat emas temasya Paralimpik Rio itu tewas kepada Yang Yifei dari China yang meraih emas 11.93s manakala gangsa milik atlet dari Brazil, Rodrigo Parreira Da Silva, 12.28s.
Kemenangan Yang Yifei itu bermakna dia berjaya membalas dendam kekalahnya kepada Ridzuan ketika di Paralimpik Rio apabila meraih perak.
Sementara itu kontinjen negara yang beraksi di Kejohanan Dunia menamatkan cabaran dengan kejayaan dua emas menerusi Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru dan Abdul Latif Romly lompat jauh masing-masing dalam kategori F20 dan T20 (masalah pembelajaran). Mereka akan pulang ke tanah air Isnin ini.
Sumber: Metro