PELAKON Risteena berkata, dia hampir-hampir pitam gara-gara menjayakan karakter sebagai seorang wanita gemuk dalam sebuah drama berjudul Gaduh-Gaduh Sayang.
Mana tidaknya, Risteena, 27, memberitahu dia terpaksa memakai sut yang diperbuat daripada getah selama 12 jam sepanjang penggambaran berlangsung.
"Ini merupakan kali pertama saya bawa watak wanita gemuk bernama Syazana dan terpaksa memakai sut latex di seluruh badan termasuk di bahagian wajah selama 12 jam.
"Saya hampir pitam kerana terlalu panas terutama apabila penggambaran di bawah terik matahari, nak ke tandas pun susah," ujarnya kepada mStar Online.
Drama arahan Feroz Khan sebanyak 26 epsiod itu turut dibintangi oleh aktor Shukri Yahaya.
Gaduh-Gaduh Sayang ditayangkan bermula 1 Julai lalu, setiap Sabtu dan Ahad, pukul 7 malam di TV1.
Tambah pemilik nama sebenar Nur Risteena Munim ini, karakter yang dibawa dalam drama komedi itu tidak semudah seperti yang dilihat di televisyen.
"Ia nampak kelakar dan senang tapi penonton tidak tahu apa yang saya lalui sepanjang penggambaran. Mujurlah, saya diberi layanan seorang puteri.
"Pihak produksi sediakan coklat dan air manis supaya saya ada tenaga sepanjang hari penggambaran. Mereka juga terpaksa mempercepatkan jadual penggambaran kerana kasihan dekat saya," ujarnya.
Biarpun gembira dapat merasai pengalaman baharu itu, namun kakak kepada aktres Ruhainies ini enggan menerima watak yang sama lagi selepas ini.
"Saya tidak serik tapi cukuplah sekali seumur hidup rasa pengalaman itu, kalau boleh saya ingin bawa watak yang lain pula.
"Kalau buat watak yang sama pun penonton akan bosan," ujarnya.
Sumber: Mstar Online