Rita Tempelak Netizen Kutuk Anaknya Bakal Jadi Macam Sajat


Artis dikecam dan menerima pelbagai komen negatif di akaun Instagram bukanlah perkara baharu. Ada artis yang mengambil pendekatan untuk menyekat individu yang melayangkan komen negatif dan ada pula yang membalas komen-komen tersebut.

Terbaharu, pelakon jelita Rita Rudaini turut menerima nasib sama apabila ada individu mempertikaikan rambut anaknya, Airit Qaqa Arjuna, 6, yang panjang.

Individu itu menulis ‘Kenapa rambut macam perempuan. Kalau lelaki buat cara lelaki. Ini sudah dididik cara begini, esok jadi Sajat, padan muka’.

Ternyata, kata-kata individu tersebut mengundang amarah sebahagian besar pengikut Instagram Rita. Menganggap komen tersebut tidak wajar ditulis, Rita ketika dihubungi turut menyifatkan individu tersebut berhati hitam.

“Bagi saya, orang macam itu penuh dengan sifat dengki dan iri hati sesama manusia. Kalau dengan budak kecil pun mereka kecam, maknanya hati mereka hitam. Itu anak saya dan saya tidak menyusahkan netizen. Jadi, kenapa perlu melayangkan komen sedemikian,” tempelak Rita menerusi kiriman WhatsApp kepada Sensasi Bintang.

Sudah lali kerana sering menjadi mangsa kecaman netizen di Instagram, namun pelakon berusia 41 itu tidak akan sesekali membiarkan individu tersebut memijak kepalanya. Maka, jika ada kelapangan, dia akan membalas setiap komen-komen yang disifatkan melampau itu.

“Saya akan jawab semua komen yang saya nampak sangat bermasalah. Kalau individu tersebut masih lagi melayangkan komen mengarut, saya akan menyekatnya. Apa yang boleh saya katakan, walaupun saya sudah lali dengan komen negatif, tetapi artis bukan dilahirkan untuk menjadi patung dan terima sahaja kecaman yang datang,” getus Rita yang minta dimengerti.

Berkongsi mengenai kedua-dua anaknya Airit Rayyan Rizqin, 8, dan Qaqa Arjuna, Rita mengaku, dia tidak akan menyekat minat anak-anaknya. Namun, dia juga mahu mereka fokus dan berusaha kepada apa yang diminati.

Rita mengakui belum terfikir untuk berkahwin semula kerana mempunyai tanggapan sama ada lelaki itu mampu menyayangi kedua-dua anaknya seikhlas hati.

“Alhamdulillah, dari segi pelajaran mereka sangat fokus. Pada masa sama, kalau mereka minat sesuatu, saya mahu mereka fokus dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Buat sesuatu kena ikhlas baru berkat dan berjaya,” katanya yang turut menanamkan minat mendalami al-Quran kepada kedua-dua anaknya.

Ditanya mengenai teman hidup, Rita mendedahkan, dia tidak bersama sesiapa buat masa ini.

“Hidup saya cuma kerja, lepas itu balik rumah dan hantar anak ke sekolah. Jadi, apabila masanya saya akan berjumpa dan berkenalan dengan sesiapa. Saya okey hidup begini sebab apa yang lebih utama dalam hidup saya adalah anak-anak.

“Kalau kahwin, saya takut bolehkah lelaki itu menyayangi anak-anak saya seikhlas hati. Perkara itu sering bermain di fikiran hingga membuatkan saya tidak terfikir untuk berkahwin lagi,” ujarnya, namun tidak menolak andai dipertemukan jodoh satu masa nanti.

Dalam perkembangan lain, Rita akan ke London selama seminggu untuk menjalani penggambaran telemovie dengan syarikat produksi Zeel Production Sdn. Bhd.

“Alhamdulillah, selepas itu ada dua lagi drama bersiri yang akan saya jayakan. Namun, tidak dapat ambil tawaran lakonan secara menerus kerana saya juga kena meluangkan masa untuk bersama anak-anak,” ujarnya seraya menoktahkan bicara.

Sumber: Kosmo