KOMENTER penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin di laman Instagram berhubung sekeping gambar antara Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Ketua Penerangan Armada, Ashraf Mustaqim benar-benar 'meriuhkan' keadaan.
Mana tidaknya komen siti yang berbaur saranan sindiran yang merujuk gambar tersebut dengan kenyataan 'yang kuat gaduh tu patut hantaq pi Palestin baguih' telah membangkitkan kemarahan Armand.
Siti meninggalkan komen itu, selepas penyanyi Yassin Sulaiman memuatnaik gambar Armand dan Ashraf yang disertakan coretan berita mengenai kekecohan berkenaan.
'Menyahut' kata-kata Siti itu, Yassin membalas dengan menyatakan, "'Betul tu Tok Ti'.
Sementara itu, membalas kata-kata Siti itu, Armand berkata, "Untuk maklumat Siti Nurhaliza, Pemuda Umno sudah beberapa kali ke Tanah Palestin,".
Dalam pada itu seolah-olah 'memulang Paku buah keras', Armand menyindir Siti dengan mengatakan, "Cuba tanya bila Datuk K nak ke Gaza Palestin?
Armand turut memuat naik video selama 3 minit 54 saat yang menunjukkan bukti Pemuda Umno ke Gaza dalam misi menghulurkan bantuan bersama-sama gambar lain di Facebooknya.
Selasa lalu, keadaan di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertukar kecoh apabila tindakan sekumpulan ahli Armada Bersatu yang cuba menghantar jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing2Hide dihalang oleh Pemuda Umno.
Difahamkan berlaku kejadian tolak menolak apabila berlaku pertembungan antara kira-kira 30 ahli Armada Bersatu dan 100 Pemuda Umno.
Sementara itu memetik laporan media tempatan melaporkan dalam kejadian itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu, Ashraf Mustaqim mendakwa beliau turut ditumbuk.
Bagaimanapun keadaan kembali tenang, apabila polis berjaya menyuraikan insiden itu tanpa ada sebarang kejadian lain yang tidak diingini.
Sumber: Sinar Harian