Rizab Kewangan Negeri Merosot Teruk, Pakar Persoal Anak Mahathir


ALOR SETAR - Kecuaian bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menguruskan hasil dan menggunakan rizab kewangan negeri tanpa membuat penambahan semula adalah kekhilafan besar serta satu bentuk  'pengkhianatan' kepada rakyat negeri itu.

Ekoran kurangnya pembangunan dan perkembangan hasil bakal mmemerangkap Kedah sebagai negeri miskin, kata Pensyarah Politik Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Angtarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Md Shukri Shuib. 
                     
Menurut Shukri, jika rizab digunakan bagi tujuan pembangunan maka ia mungkin akan kembali menjadi hasil yang baik kepada kerajaan dari sudut pulangan pelaburan serta juga menjadi modal asas bagi pengembangan dana masa hadapan Kedah.

"Dalam hal ini, di manakah dana rizab kerajaan negeri dibelanjakan pada era Mukhriz menjadi Menteri Besar? 

"Apakah tujuan rizab berkenaan digunakan?

"Adakah ianya belanja hangus seperti pembayaran gaji kakitangan atau diguna untuk  pembiayaan lain yang disebabkan oleh ketidak cekapan mendapatkan perolehan dana bagi menampung keperluan bajet yang dibentang?,'' soal Shukri.  
                    
Menurut beliau, kekurangan hasil negeri juga boleh menimbulkan persoalan, kenapa ia berlaku secara konsisten sejak 2013 hingga 2015.

Adakah kerajaan negeri pimpinan Mukhriz ketika itu tidak peka dengan data serta prestasi kerja kakitangan kerajaan negeri hinggakan perolehan sumber dana tidak dipantau rapi, ujarnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan  pengecualian cukai  secara besar-besaran kepada pihak tertentu yang sepatutnya membayar beberapa jenis cukai kepada negeri seperti premium dan levi  semasa Menteri Besar berkuasa.  
                      
Kemerosotan hasil serta kurangnya pembangunan memberi kesan kepada keyakinan pelabur untuk datang menanam modak di Kedah, katanya.

Kata beliau lagi, data kewangan negeri termasuk rizab dan kemerosotan hasil secara konsisten menunjukkan bahawa kepekaan pembangunan tidak menjadi asas utama peneraju negeri ketika itu.

Bahkan kecenderungan menghabiskan simpanan dana negeri bagi penyelesaian masalah ketidakcukupan dana menampung perbelanjaan awam, amat tidak baik bagi kelestarian kemajuan Kedah untuk jangka panjang, kata Shukri.  
                     
Mukhriz yang kini Timbanan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semasa mengetuai pentadbiran kerajaan dan politik negeri Jelapang Padi negara itu didapati gagal mengenalpasti arah tuju pembangunan negeri secara realistik. 

Sebaliknya, Mukhriz hanya sekadar membawa angan-angan seorang  anak bandar  atau 'KL Boy' yang tidak tahu akan potensi asas Kedah yang boleh digembleng sebagai magnet ekonomi bagi tujuan sumber perolehan jangka panjang di masa hadapan. 
                   
Kurang arif Mukhriz dalam tadbir urus negeri jelas terpapar kerana mungkin beliau tidak mengoptimumkan kepakaran anggota Ahli Dewan Undangan Negeri  BN sedia ada, pegawai kerajaan negeri  dan Persekutuan selain  gagal mewujudkan medan perbincangan secara holistik bagi membina hasilan pemikiran yang realistik untuk Kedah. 
                       
Ketika Mukhriz 'dicanangkan' sebagai pakar dalam hal urus niaga antarabangsa rupanya beliau semasa diangkat sebagai Menteri Besar tidak peka dalam memacu potensi ekonomi  negeri yang lebih lestari serta mapan.

"Saya sedih apabila melihat Kedah bukan sahaja tidak berkembang tetapi hilang rizab kewangan  kerana kecuaian urus tadbir hasil negeri yang nyata berlaku, " kata Shukri - Kedahnews.com